Quantcast
Channel: www.sobriyaacob.com
Viewing all articles
Browse latest Browse all 94

Ekspedisi Trans Titiwangsa V1 Reverse - 24 Jam

$
0
0

Ekspedisi Trans Titiwangsa V1 secara Reverse dalam tempoh masa 24 Jam - Salah satu pengalaman mendaki gunung yang tidak boleh dijual beli, dimana kaki perlu terus gigih melangkah setapak demi setapak seiring dengan keazaman serta niat untuk sampai ke garisan penamat. Expedisi yang banyak memberi pengajaran & pengalaman yang sangat berguna untuk diri sendiri dan tak mungkin dapat sob rasai dalam ekspedisi yang lain.
'Apa yang hang fikir tetiba rasa nak buat Trans V1 dalam tempoh 24? tak ke itu satu kerja gila dengan pengalaman yang sangat amatur dalam dunia pergunungan arhh memang betul hang tengah cari masalah! 
Sob sendiri masih berpikir bagaimana cara yang terbaik untuk bercerita mengenai pengalaman melakukan Trans V1 dimana mungkin sedikit perkongsian catatan peribadi yang tak seberapa ini dapat dijadikan sedikit panduan kepada pendaki yang lain. Paling penting adakah kami semua yang mengikuti Expedisi Trans Titiwangsa V1 secara daypack berjaya atau tidak menghabiskan expedisi ini dalam tempoh masa 24 jam seperti yang telah ditetapkan :P

 Ekspedisi Trans Titiwangsa V1 Reverse - 24 Jam 

Apa itu Trans Titiwangsa ?

Trans bermaksud merentas. Manakala Titiwangsa merupakan banjaran tanah tinggi yang menjadi tulang belakang kepada Semenanjung Malaysia. Secara logiknya Trans Titiwangsa membawa maksud Ekspedisi Merentas Banjaran Titiwangsa. Ekspedisi yang dinamakan sebagai Trans Titiwangsa V1 merupakan ekspedisi pendakian yang menjadi kegilaan buat para pendaki pada masa kini sehingga wujudnya pelbagai laluan Trans yang lain seperti Trans Titiwangsa V2 & V3 dimana pendakian melibatkan perjalanan merentasi beberapa buah gunung. 


Ekspedisi pendakian banjaran Trans Titiwangsa V1 pula merangkumi beberapa gunung tertinggi di Malaysia yang termasuk di dalam senarai G7 seperti Gunung Yong Belar (2181 mtr), Gunung Korbu (2183 mtr) dan Gunung Gayong (2173 mtr) merentasi Banjaran Titiwangsa sejauh jarak lebih 32 kilometer. Ekspedisi ini selalunya mengambil masa lima atau enam hari kebiasaannya secara kebiasaannya, sama ada mendaki dari Empangan Sultan Azlan di Perak terlebih dan turun Empangan Blue Valley di Cameron Highland atau secara Reverse dan team kami memilih untuk lakukan secara reverse.


Ramai yang bertanya bagaimana mana boleh terjebak dengan Expedisi Trans V1 ni ?

Kisah bagaimana sob boleh terjebak dengan trips yang dianjurkan oleh Trust Hikers #pendakibebas ini, dimana pada saat-saat akhir lagi 7 hari sebelum trips Trans V1 ini berlangsung salah seorang peserta telah menarik diri dan sob telah diberitahu mengenai perkara ini dan Sob telah menawarkan diri untuk menggantikan lagi 1 seat kosong sememangnya ini satu peluang keemasan yang tak boleh ditolak. Walaupun sebenarnya trips ini boleh dikategorikan agak berisiko tinggi sekiranya tidak membuat persediaan yang cukup oleh sebab itu sebelum expedisi ini berlangsung kami sering kali diingatkan supaya training, training dan training secukupnya dan pastinya semua yang terpilih mengikuti trips ini bukan calang-calang pendaki yang pastinya mempunyai pengalaman tersendiri untuk memastikan trips ini berjaya.

Sebenarnya memang sudah lama teringin untuk merasai sendiri pengalaman mendaki melalui laluan Banjaran Titiwangsa Edisi 1,  ingin merasai sendiri bagaimana rasanya naik turun gunung melalui puncak tipu yang banyak, merentasi anak sungai sungai, melalui trek yang berlumpur sampai ke paras  lutut dan paling penting untuk melihat sendiri keindahan hutan mossy yang masih dalam keadaan tidak terusik di laluan yang cukup jarang dilalui oleh para pendaki dan i'm so luck dapat merasai semua pengalaman ini ketika melakukan expedisi ini.

Bermulanya satu kisah gila melakukan pendakian dalam 24 jam di laluan Banjaran Titiwangsa demi kepuasan diri sendiri.

Sob merupakan satu-satunya wakil solo daripada Perak yang menyertai expedisi yang julung kalinya dianjurkan oleh Trust Hikers. Petang jumaat selepas habis waktu bekerja sob terus bergerak daripada Gerik menuju ke Ipoh, mujurlah perjalanan hanya mengambil tempoh masa selama 2 jam tidak mengalami sebarang masalah dan semua barang-barang keperluan untuk mendaki secara daypack telah diletakkan di dalam kereta terlebih dahulu supaya tidak ada barang yang tertinggal dan untuk memastikan sob tidak tiba lewat sampai ke lokasi pertemuan yang telah diberikan, beberapa hari yang lepas sebelum trips ini berlangsung. Kami telah diberikan location di Group wassup untuk semua peserta bertemu dan berkumpul di satu kawasan taman yang berhampiran masjid di daerah Tambun untuk  parking kereta disini sebelum meneruskan perjalanan menuju ke permulaan starting point ke Gunung Yong Belar.

Lebih kurang pukul 4.00am, Kami kesemua Lineup seramai 11 orang memulakan perjalanan daripada Tambun menuju ke Cameron Highland yang mengambil masa selama 1 jam dengan menaiki pacuan 4 roda 4X4 dan sebuah kereta proton milik S.O.S dan sebelum memulakan pendakian kami singgah sebentar di Masjid Lojing terlebih dahulu untuk sarapan pagi, melepaskan apa yang patut dan seterusnya mengagihkan makanan yang telah siap di bungkus kepada semua lineup. Ini sangat penting untuk memastikan kami semua membawa beban yang paling minimum dimana kami dibekalkan dengan dua set makanan yang telah siap dimasak iaitu nasi putih dan rendang ayam untuk memberikan tenaga yang secukupnya sepanjang trips 24 jam ini berlangsung. Pada awal-awal pendakian kami telah dingatkan dan dilarang sama sekali untuk membuka 'dapur haram' ketika ontrack dan harus membawa barang-barang asas seperti pisau, emergency blanket, supplement makanan yang ringan dan kaya dengan sumber protein untuk mendaki kerana pendakian kali ini secara compress.

Disebabkan sob agak lewat memasuki Group Wassup - Trans V1, banyak info-info yang telah dibincangkan sebelum ini sob terlepas pandang dan hampir separuh peserta yang mengikuti trips ini tidak sob kenali kecuali Pok Tih & Din sebelum ini pernah bertemu ketika mendaki Gunung Yong Yap dan setahun sebelum itu pernah bersama-sama mendaki Gunung Yong Belar daypack bersama Afie, Ben & Azlina.

Tiba Di starting Point, Gunung Yong Belar tunggu aku datang lagi !

Dengan kekuatan seramai 10 orang line up, seorang sweeper jemputan & Penunjuk arah melakukan persiapan dan pemeriksaan terakhir sementara menanti four wheel menghantar kesemua line up ke tempat permulaan untuk mendaki Gunung Yong Belar. Untuk makluman untuk menuju ke Gunung Yong Belar dan Gunung Tiga Sempadan boleh melalui laluan paip atau via Kebun dan pada kali ini kami memilih Via Kebun. Perjalanan menuju ke Yong Belar ibarat menaiki Roller coaster naik dan turun sampai ada line up yang agak pening tambahan terpaksa berdiri di bahagian belakang four wheel ini boleh dikatakan ibarat salam pengenalan untuk kami semua, Seperti yang telah diramal oleh sob dan rakan-rakan pastinya pintu pagar permulaan untuk menuju ke Kebun sayur masih ditutup dan kami semua berhenti dan memulakan perjalanan menuju ke starting point Kebun sayur yang mengambil masa dalam 1 jam.

Setibanya di kebun sayur iaitu starting point untuk menuju ke Puncak Yong Belar, kami kesemua line up seramai sembilan orang lelaki dan seorang wakil solo wanita telah diberi taklimat dan bacaan doa sebelum memulakan pendakian disini juga diadakan sesi perkenalan sesama pendaki secara ringkas. Sesi Taklimat ringkas diberikan secara ringkas memandangkan kami semua agak kesuntukan masa dari plan asal kerana ada pertambahan masa yang diambil ketika berjalan kaki menuju ke Starting point. Farid selaku Guidge ekspedisi ini memberi sedikit penerangan dan laluan yang bakal dilalui. Kami telah menetapkan untuk 'regroup' kembali di beberapa kawasan seperti di Kem Periuk  Puncak Yong Belar, memandangkan laluan untuk menuju ke puncak agak mudah difahami dan tidak banyak simpang yang boleh membuatkan para pendaki tersasar daripada trek asal selain itu kebanyakan daripada kami mempunyai pengalaman mendaki Gunung Yong Belar dan ini memberi sedikit kelebihan buat kami semua seterusnya  bacaan doa dibaca oleh Farid untuk memohon perlindungan, keselamatan daripada yang Maha Kuasa.



 Kemsite Kasut - Gunung Yong Belar

Menuju ke Kem Kasut, edisi membajak sawah & bermain lumpur !

Tepat jam 5.40 am, keadaan pada waktu itu masih dalam keadaan gelap dengan berbekalkan cahaya daripada head lamp kami terus berjalan dalam sesi sepak daun secara berjemaah bermula dimana semua tengah cuba memanaskan badan untuk mencari  rentak mendaki masing-masing seterusnya memasuki pintu rimba dimana trek yang bakal dilalui agak pacak dan berlumpur daripada permulaan starting point lagi, sangat berbeza daripada setahun yang lepas dimana trek masih lagi boleh dikategorikan keadaan cun dan kering! mungkin disebabkan expedisi kami ini dilakukan dalam musim hujan dan juga kebanjiran pendaki yang datang ke Yong belar setiap minggu menyebabkan trek yang dilalui berlumpur dan becak sehingga ke puncak.

Seterusnya kami berhenti sebentar di Kem Tudung Periuk, menanti masuknya waktu subuh untuk menunaikan solat  subuh, di campsite kelihatan beberapa orang pendaki yang masih lagi lena tidur dibuai mimpi indah. Sepanjang perjalanan menuju ke puncak Yong Belar, tidak banyak masalah yang dihadapi kecuali beberapa orang peserta sudah mula kelihatan Pace Nya mulai agak slow. Perjalanan daripada Kem Tudung Periuk ke kem kasut mengambil tempoh masa pendakian yang agak panjang disebabkan jarak daripada campsite ke campsite yang lain agak jauh. keadaan mossy disini masih lagi dalam keadaan cantik seperti sob lihat pertama kali beberapa tahun yang lepas, hari mula beransur cerah boleh kelihatan cahaya mula menyinari di sebalik pokok-pokok sambil kedengaran bunyi sahutan haiwan ini memberi kelebihan kepada kami semua untuk bergerak dengan lebih pantas dan ketika ini telah terbentuk dua kumpulan menuju ke Puncak Yong Belar. 

Puncak Pertama yang berjaya sampai Puncak Gunung Yong Belar (2181 mtr)

Berada di Puncak Yong Belar, satu kepuasan yang tak boleh digambarkan dengan kata-kata, syukur alhamdulilah. Mungkin masih tiada rezeki dibelanjakan dengan view awan karpet dari puncak, pemandangan gunung ditutupi oleh kabus tebal, cukuplah sekadar bergambar dengan papan tanda yang tertulis perkataan Gunung Yong Belar untuk membuktikan bahawa kami telah berjaya melepasi cabaran gunung yang pertama . Selepas mendaki lebih kurang 3 Jam lebih melalui trek yang berlumpur dan licin, terpaksa berpaut pada akar kayu situasi ini sedikit sebanyak melambatkan perjalanan kami semua dimana ketika itu kami telah terbahagi kepada 2 kumpulan. Seterusnya kami semua 'Regroup' kembali disini berehat sebentar lebih kurang 15 minit untuk makan, minum dan bergambar sebelum diberi taklimat yang seterusnya mengenai perjalanan kami menuju ke Puncak Junction (2,072 mtr) 

Taklimat kali kedua ini lebih panjang dan teliti dimana diberi penerangan mengenai keadaan trek, checkpoint, waterpoint yang seterusnya akan kami temui dan lalui dan banyak info, tips yang diberikan. Seperti biasa langkah keselamatan sangat diutamakan, menjaga keselamatan antara satu sama lain, sentiasa berhati-hati dan berjalan berpasangan sekiranya ketinggalan agak jauh, elakkan berjalan seorang diri kerana laluan seterusnya akan  masuk ke hutan yang lebih tebal dan tiada berpenghuni, Percentage amat tipis untuk bertemu pendaki lain dan mungkin akan berjumpa dengan binatang dan diharapkan agar sesekali tidak akan bertentang mata. Ini baru sebenarnya cabaran Trans V1 dimana kesemua line up tidak pernah lagi melalui laluan menuju ke Puncak Junction yang akan melalui Kem Kuali, Puncak H20, Kem H20 dan barulah sampai ke Puncak Junction.

Suasana di Kem Kuali dan Kem H20

Menuju Ke Kem Kuali, Puncak H20 dan Kem H20

Kali ini sob mengambil keputusan untuk menjadi orang yang terakhir berjalan di belakang, mungkin disebabkan keadaan diri yang mula keletihan dan keadaan trek yang berbecak, berlumpur membuatkan perjalanan sob yang memakai sandals sedikit licin dan perjalanan mula menjadi sedikit perlahan di samping itu untuk mengelakkan kaki melanggar akar kayu yang boleh memberikan kecederaan kepada kaki antara risiko memakai sandals ketika mendaki, tapi jarak antara sob dan pendaki di depan tidak jauh dimana masih boleh mendengar suara mereka ketika ontrek, kerana amat berbahaya sekiranya berjalan dengan jarak yang agak jauh dengan pendaki yang berada di hadapan.

Sob bersama-sama dengan Afie, Ben dan Poktih ketika menuju ke kem kuali dimana kami menuruni gunung yang trek nya agak licin dan berakar disepanjang jalan akan kelihatan batu-batu simpadan antara negeri yang diletakkan untuk menanda sipadan setiap negeri. Perjalanan daripada Puncak Yong Belar ke kem Kuali hanya mengambil masa 15 minute secara menurun terdapat sebuah Tapak Helipad di mana didirikan tapak kem sementara oleh jabatan hutan semasa mereka mengukur dan memasang batu sempadan, boleh kelihatan tapak ini masih baru dibuat kesan tebasan semak dan pokok kayu kecil di sekitar batu sipadan.

Pemandangan di Kemsite Tudung Periuk yang masih lagi berkabus

Sekiranya bernasib baik dimana cuaca dalam keadaan cerah dan tidak ditutupi dengan kabus tebal, akan dibelanjakan dengan satu pemandangan gunung-gunung banjaran titiwangsa yang luas terbentang dan juga boleh kelihatan cukup megah Puncak Yong Belar ! Kami semua berhenti sebentar disini untuk bergambar, ketika kami berada disini cuaca dalam keadaan berkabus dan terasa agak sejuk. Di kem Kuali terdapat sebuah kuali lama yang digantung untuk menandakan ini merupakan Kem Kuali dan hampa boleh berhenti sebentar untuk mengisi air kerana terdapat sumber air sungai yang terdekat dari puncak Yong Belar dan ia adalah sumber air paling akhir sebelum sampai ke kem H20 nanti.

Bergambar di Batu Sipadan 

Selepas semua siap bergambar dan menambah bekalan air, kami meneruskan perjalanan menuju ke Puncak H20 dan Kem H20 untuk berehat sebentar dan solat. Daripada Batu sipadan menuju ke Puncak H20  kelihatan trek lebih landai selepas itu menurun serta menaik dan tidak begitu berlumpur secara tidak langsung situasi ini membantu sob untuk bergerak dengan lebih laju. Perjalanan diteruskan dimana akan menjumpai beberapa tapak helipad, sob anggarkan melalui 2 tapak Helipad dan melalui sedikit laluan berbuluh serta kawasan pokok yang dipenuhi oleh Mossy, memang benar seperti yang diberitahu laluan trek ini agak jarang dilalui kecuali hampa menyertai ekspedisi Trans Titiwangsa dimana mossy disini masih dalam keadaan asal dan cukup tebal, memang memukau setiap mata yang memandang.

Daripada Puncak H20 menuju ke Kem H20 mengambil masa lebih kurang 1 jam lebih dan disini terdapat sungai yang aliran airnya tidak begitu deras dan berwarna sedikit kekuningan tapi cukup jernih, sejuk dan mendamaikan tambahan pula apabila aliran air ini terkena tubun badan yang sememangnya sudah pewai kepenatan! Perjalanan menuju kesini menurun dan mula menjumpai pokok-pokok besar di sepanjang perjalanan manakala keadaan sekeliling pula lebih redup, maklumlah semakin mula menghampiri kawasan yang berair. Lebih kurang pukul 4.00 Pm kami semua telah sampai ke sini dalam satu kumpulan seterusnya bersolat dan makan makanan yang diberikan seterusnya mula berehat untuk mengumpul tenaga untuk menuju Ke Puncak Junction. Selepas selesai semua urusan dan hampir separuh hari terpaksa berjalan dengan keadaan yang tidak cukup selesa dimana lumpur melekat di sekitar sandal, cukup menyenangkan hati apabila boleh membasuh kotor-kotor lumpur yang melekat di sandal, stokin dan seluar. 

Keadaan Kem H20 agak luas dan boleh memuatkan beberapa kumpulan pendaki. Kawasan ini sangat sesuai dijadikan tempat bermalam kerana sangat berhampiran dengan punca air boleh dikatakan agak selesa walaupun tidak seluas Kem Kasut atau Kem Tudung Periuk. Tanpa melengahkan masa selepas selesai semua urusan, sob mula mengisi bekalan air yang ingin dibawa ke Puncak Koga dimana waterpoint seterusnya diberitahu oleh Guide agak jauh untuk pergi dan tidak berbaloi untuk mencari bekalan air sekiranya kami semua sampai ketika hari sudah gelap di Kem Cerek.

Keadaan sungai di Kem H20 air yang mengalir jernih, sejuk dan mendamaikan

Akhirnya sudah bersih, barulah selesa untuk bergerak :P

Perjalanan menuju ke Gunung Junction, Keindahan Mossy Forest yang tak tergambar dengan kata-kata !

Daripada Kem H20 menuju ke Puncak Junction digalakkan untuk berjalan dalam satu kumpulan terutama di bahagian bawah dimana kita perlu melintasi beberapa bukit kecil dan laluan yang berair dimana sekiranya tersalah memilih jalan kerana keadaan trek yang tidak begitu jelas dan jarang dilalui pastinya berisiko untuk sesat adalah tinggi. Perjalanan mendaki ke puncak Gunung Junction tak boleh sob gambarkan dengan kata-kata cukup pacak, trek yang panjang dan memenatkan, walaupun kami hanya mendaki dengan bebanan barang yang cukup sedikit ia betul-betul tetap memerah kudrat sob untuk sampai ke puncak. Tak boleh bayangkan sekiranya melakukan ekspedisi ini secara camping selama 4-5 hari sambil membawa bebanan beg yang berat pastinya ia memerlukan kesabaran yang cukup tinggi.

Langkah sob dan rakan-rakan semakin lama semakin perlahan disebabkan keadaan trek yang mencanak naik yang  70 - 80% dengan situasi kami semua telah berjalan hampir separuh hari tanpa mendapatkan rehat yang seckupnya, kebanyakan pendaki sudah mulai terasa pewai dan kehabisan tenaga, mungkin sob boleh simpulkan kenapa kami terus berjalan disebabkan tekad untuk selesaikan misi 24 jam dan pastinya tidak berbaloi untuk berpatah balik di separuh jalan menyebabkan kami semua terus berjalan selangkah demi selangkah sehingga sampai ke Puncak Junction. Di laluan tertentu memerlukan memerah segala kudrat tenaga yang ada untuk melintasi pokok-pokok yang tumbang, memanjat beberapa batu besar yang  licin dan tajam nasib baiklah sudah tersedia beberapa utas tali yang telah dipasang membantu memudahkan perjalanan kami semua. 

Perasaan mendaki ketika itu, hanya perasaan letih, sumpah seranah dan protes kepada diri sendiri kenapa buat kerja gila ini, lebih baik sekiranya waktu cuti hujung minggu sob hanya berehat-rehat di rumah, tapi apa boleh buat keinginan untuk merasai sendiri pengalaman melakukan Trans V1 dalam tempoh masa 24 jam mengatasi segala-galanya. Sekarang tak perlu lagi ada perasaan menyesal kerana sudah terlambat hanya perlu sob teruskan langkah, sentiasa positif dan focus sebab utama kenapa menyertai expedisi dan menikmati setiap cabaran-cabaran yang ditempuh sepanjang expedisi ini berlangsung!

Memanjat beberapa batu besar yang  licin dan tajam nasib baiklah sudah tersedia beberapa utas tali yang telah dipasang membantu memudahkan perjalanan kami semua. 


Memang terasa cukup letih ketika menuju ke Puncak Junction, tetapi pendakian ini memang sangat berbaloi apabila sepanjang perjalanan ketika hampir-hampir sampai ke puncak dan setelah melalui beberapa puncak tipu, akan melalui kawasan yang dipenuhi dengan pohon mossy yang cukup banyak, cukup subur, gebu kehijauan yang tak boleh sob gambarkan dengan kata-kata. Bagaimana keadaan mossy di Gunung Junction  cukup indah mungkin disebabkan jarak untuk sampai ke sini pun cukup jauh sehingga ia jarang untuk disentuh oleh manusia membuatkan keadaan mossy disini cukup terjaga seolah-olah dijaga oleh 'orang lain'. Sampai satu tahap walaupun berjalan bersama beberapa orang pendaki yang lain melalui pohon-pohon besar dipenuhi oleh tumbuhan Mossy ketika itu sob melalui ketika waktu hampir ke pukul 5.40 petang dan cuaca menuju ke puncak sudah mula sejuk dan berkabus dimana kelihatan air-air embun menitik melalui di celah-celah mossy memang memberi satu pemandangan yang cukup luar biasa seolah-olah berada di dunia lain dimana perasaan teruja dan seram mula menguasai perasaan sehingga ingin membuatkan sob mempercepatkan langkah secepat mungkin untuk regroup berjumpa dengan rakan-rakan lain di puncak Junction.

Berkumpul dan regroup kembali di tapak Helipad, untuk bersama-sama ke Puncak Junction

Sangkaan sob rupanya tidak tepat sekali, kami menjangkakan kesemua lineup akan regroup kembali di Puncak Junction dimana mereka  akan  menunggu kawan-kawan yang agak lambat sampai di sana kerana keadaan di situ lebih terlindung daripada tiupan angin kerana ada pokok-pokok kecil untuk dijadikan benteng daripada tiupan angin yang kuat dan sejuk berbanding di Tapak Helipad yang ke 4 yang lebih kepada kawasan yang terbuka. Bayangkan mereka tunggu lebih kurang setengah jam sedangkan sob baru 5 minit berada di situ pun sudah terasa sejuk ke tulang kedingin terkena tiupan angin. Selepas semua berkumpul, kami mempercepatkan lagi langkah menuju ke Puncak Junction dan sob ada menyedari ketika melalui trek ini akan melalui kawasan bermossy dan sedikit perlu bongkokan badan untuk melalui kawasan ini dan sob nampak kesan tapak kaki binatang yang melalui kawasan ini disebabkan treknya agak berlumpur dan sob agak pasti itu adalah kesan tapak kaki harimau akar yang cukup suka mendiami kawasan yang sebegitu, tapi syukur alhamdulilah sepanjang expedisi ini berlangsung kami tidak bertembung dengan mana-mana haiwan liar di perjalanan, syukur.


Di Puncak Gunung Junction bersama idola kita, Pok Teh cukup steady kepaduanya mengalahkan orang muda :P

Akhirnya kami berjaya sampai ke Gunung Junction (2082 mtr) lebih kurang 6.15 petang. Perasaan amat lega dan bersyukur apabila gunung ke 2 yang perlu didaki sudah berjaya ditawan. Keadaan puncak yang agak luas, landai dan tertutup amat sesuai untuk dijadikan tempat bermalam buat para pendaki. Disebelahnya pula terdapat satu lagi kawasan yang luas dimana terletaknya satu simpang yang dikenali sebagai simpang Y dan sob difahamkan bukan semua orang boleh sampai ke Gunung Junction sekiranya anda tidak melakukan expedisi mana-mana Trans Titiwangsa tidak mungkin akan melalui Gunung Ini. Sedikit info mengenai Simpang Y sekiranya sob tidak silap itu adalah simpang untuk meneruskan perjalanan menuju ke puncak Gunung Yong Yap, Bubu dan Tok Nenek untuk melakukan Trans V2 dan pastikan tidak mengambil simpang yang salah menuju ke Korga. Kami semua tidak berada lama di Puncak Junction lebih kurang 5 minit untuk bergambar dan seterusnya mengejar masa menuju ke Kem Cerek dimana ketika itu cuaca sudah mula semakin gelap.


Perjalanan Menuju Ke Kem Cerek, langkah kaki semakin laju.

Keadaan trek menuju ke Kem Cerek, agak menurun dan di sesetengah laluan yang perlu untuk mendaki tapi tidak terlalu tinggi dan ketika itu kami semua mempercepatkan langkah dengan berlari-lari anak, kadang-kadang agak laju mengejar antara satu sama lain, dengan keadaan trek yang tidak berlumpur seperti trek ke Gunung Yong Belar ini memudahkan kami semua untuk bergerak dengan lebih pantas untuk sampai ke Kem Cerek, cuma di pertengahan perjalanan kami berhenti lebih kurang setengah jam untuk menghormati waktu maghrib dan berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan menuju Kem Cerek

Lebih Kurang 1 jam Setengah perjalanan, tepat pukul 8.30 Pm kami semua telah sampai ke Kem Ceret tak banyak yang boleh sob gambarkan mengenai campsite ini kerana sampai ketika hari sudah gelap dan daripada pandangan sob hasil daripada bantuan cahaya head Lamp keadaan campsite agak luas, luas dan terdapat satu cerek lama yang digantung sebagai tanda ini merupakan campsite terakhir sebelum menuju ke Simpang Proton. Alhamdulilah sepanjang expedisi Trans V1 ini sob sedikit pun tidak terasa mengantuk ketika berhenti di mana-mana campsite atau puncak,berbanding kawan-kawan yang lain pantang berhenti sekejap terus melelapkan mata.

Laluan menuju ke Simpang Proton  satu pengalaman dalam seribu.

Lebih kurang 15 minit berehat kami semua meneruskan perjalanan menuju ke Simpang Proton di mana perjalanan untuk sampai ke Simpang Proton perlu melalui beberapa Puncak tipu dan perlu mendaki, jujur cakap ketika ini ramai diantara kami semua sudah pewai keletihan dan tidak mempunyai banyak tenaga lagi untuk meneruskan pendakian. Dengan sumber air yang semakin sedikit, keadaan cuaca yang berangin serta sejuk mengiringi perjalanan kami yang agak panjang menyebabkan beberapa orang di antara kami pada mulanya berjalan dalam satu kumpulan sudah berpecah dan bergerak berasingan, langkah mulai perlahan disebabkan ada yang cramp di bahagian kaki dan peha dan salah seorang line up sudah mula loya-loya dan muntah ketika menuju ke Simpang Proton.

Keadaan sob ketika itu alhamdulillah masih keadaan ok, boleh lagi untuk meneruskan perjalanan walaupun langkah yang diambil sudah tidak begitu pantas dan tak selaju lineup yang berada di barisan hadapan jadi sob mengambil keputusan untuk memperlahankan langkah dan berjalan bersama-sama dengan beberapa orang pendaki yang mulai rasa sakit kesan injured untuk membentuk satu 'group' jalan bersama-sama kerana agak berbahaya berjalan seseorang diri di tengah-tengah hutan belantara pada waktu malam. Sob masih yakin masih jauh perjalanan untuk sampai ke Simpang Proton dan memerlukan banyak tenaga dan kekuatan yang perlu digunakan untuk mendaki Puncak Gunung Korbu & Gunung Gayong. 

Sebenarnya  dalam perjalanan menuju ke Simpang Proton ketika kami melalui satu laluan sob, ada terhidu satu bau yang cukup harum yang bau harumnya seperti bau bunga tapi seperti biasa sob hanya abaikan dan buat bodoh  ingat akan  pesanan  orang tua-tua sekiranya memasuki hutan dan terhidu sesuatu bau atau terjumpa sesuatu yang sangat menarik perhatian jangan ambik, abaikan sahaja cukup sekadar melihat tapi kebetulan ketika menyuluh lampu mencari kesan trek yang telah dialalui oleh lineup terdahulu sob terjumpa darimana datangnya bau wangi itu, kelihatan baberapa pokok bunga orked yang berwarna putih sedang elok berkembang mekar serta mengeluarkan bau yang harum. 

Dipertengahan perjalanan sob berjumpa dengan dua orang lagi peserta yang sedang berehat di tengah laluan kerana partner nya sudah mula muntah-muntah dan loya mungkin disebabkan keletihan atau salah makan. Jadi kami semua seramai 5 orang iaitu Sob, Ben, Afie, Din & Azim mengambil keputusan untuk berehat sebentar untuk makan saki baki makanan ringan yang masih ada untuk mendapatkan tenaga yang secukupnya untuk meneruskan perjalanan ke puncak Korga dimana puncak terakhir yang perlu dilalui sebelum kami semua berjaya melengkapkan Misi 24 Trans V1.


Gunung Gayong cerah disinari cahaya bulan purnama !

Puncak Gayong yang sebelum ini hanya kelihatan dari jauh akhirnya semakin kami berlima hampiri seterusnya berjaya sampai ke Simpang Y walaupun mengambil masa yang agak lama berbanding pendaki yang lain, bagi lineup yang lain yang telah sampai terlebih awal berhenti berehat terlebih dahulu sementara menanti tibanya kami berlima sampai ke Simpang Y. Bagi sob dan berapa lineup yang lain yang tidak pernah menjejakkan kami ke Punca Korga gabungan nama bagi Puncak Gayong dan Puncak Korbu menyangkakan bahawa daripada sini untuk sampai ke Puncak Gayong masih jauh perjalanan rupanya sangkaan kami adalah salah dari Simpang Proton ke Gunung Gayong hanya berjarak 100 meter treknya yang lebih landai dan kira-kira mengambil masa hanya 7-8 minit sahaja untuk sampai, tapi yang cukup menarik adalah terpaksa melalui jalan yang berlumpur dan berlecak yang agak dalam, bayangkan dalam keadaan gelap dan kesejukan memang memberikan satu perasaan yang tidak menyenangkan.

Cuaca pada malam itu di Puncak Gayong sangat cantik, kelihatan cahaya bulan penuh menyinari menerangi kawasan gunung dan kelihatan jelas di bawah kawasan Pekan berwarna warni yang disinari lampu neon cukup cantik, satu suasana yang jarang dapat dinikmati sekiranya tidak berada di kawasan yang agak tinggi, sekali datang pula datang angin kuat datang menghembuskan nafasnya membuatkan kami semua kesejukan hingga ke tulang. Memang kebanyakan daripada kami tidak membawa baju tebal untuk memanaskan badan mujurlah ada plastik sampah dan emergency blanket dijadikan sebagai pelindung daripada angin kuat. Beberapa pendaki yang pernah sampai ke Puncak Gunung Gayong sebelum tidak mengikuti kami ke Puncak untuk bergambar kenang-kenangan mereka sekadar sampai ke Kem Proton dan menunggu kami disitu. sebelum meneruskan perjalanan ke Puncak korbu

Daripada Simpang Proton boleh kelihatan Gunung Korbu, pastinya dengan keadaan yang agak cerah sob masihlagi  tidak boleh mengagak berapa jauh lagi baki perjalanan untuk sampai Puncak Korbu apa yang dapat dilihat hanyalah cahaya lampu head lamp yang disuluh oleh beberapa orang pendaki lain yang menuju ke Gunung Korbu. 

Puncak Gayong bukan biasa, cukup luar biasa.

Setelah kami semua seramai 8 orang kembali  menuju ke Simpang Proton daripada mengambil gambar kemenangan di puncak yang ketiga iaitu Puncak Gunung  Gayong (2173 mtr) dan ini  merupakan Gunung ke empat yang termasuk dalam senarai G7.

Hari kedua pada awal pagi ahad, di campsite sementara

Kemsite haram di Gunung Gayong.

Salah satu peristiwa yang tidak mungkin dapat sob lupakan di antara pengalaman yang cukup berharga yang membuatkan trips kali ini begitu istimewa, telah berlaku kejadian yang tidak dijangka ketika kami semua ingin meneruskanperjalanan menuju ke Puncak Korbu dimana sudah ramai lineup mula kelihatan kepenatan dan mengalami masalah krem di bahagian anggota tubuh badan kerana hampir satu hari mendaki dari satu puncak ke puncak yang lain. kesemua bersiap-siap untuk meneruskan perjalanan ke Puncak Gayong dan telah berjalan terlebih dahulu, maka tinggalah sob, Din & Azim lineup yang terakhir bergerak tapi ini tidak menjadi masalah kerana kami memang ada membawa 3 unit walkie talkie untuk berhubungan sesama kami untuk mengetahui keadaan semasa dan kedudukan lokasi setiap group sekiranya tidak berjalan dalam satu kumpulan.

Tinggalah kami bertiga yang terakhir untuk meninggalkan Simpang Proton, ketika ingin bergerak memulakan pendakian Azim yang sebelum ini pernah muntah dan loya-loya tekak ada memberi tahu sob bahawa keadaanya dirinya mula tidak terasa sihat dan tidak bertenaga untuk meneruskan perjalanan ini, maka kami mengambil keputusan untuk menambahkan lagi masa untuk berehat di Simpang Y sehingga Azim ada tenaga untuk meneruskan perjalanan ke Puncak Korga kerana bukan-bukan calang trek yang perlu dilalui penuh dengan puncak tipu dan trek yang pacak sehingga sampai ke puncak.

Akhirnya secara tidak sedar, mungkin disebabkan keadaan sob yang sudah keletihan tanpa membuang masa kami bertiga terus membalut badan dengan emergency blanket menyebabkan kami bertiga tertidur selama 20 minit di Simpang Y, sebenarnya itu tindakan yang kurang bijak kerana dengan keadaan tempat yang terbuka, kesejukan dan kami semua keletihan adalah agak mudah untuk kami diserang Syndrome Ams. Din terjaga daripada tidur lantas terus menggerakkan kami berdua untuk bangun mengejar group dihadapan kerana mengikut perkiraan Din dalam tempoh masa 20 minit ditinggalkan oleh mereka sudah jauh jarak mereka meninggalkan kami bertiga. Sob dengan Din terpaksa memaksa Azim untuk terus berjalan ke kawasan yang lebih tertutup untuk mengelakkan tiupan angin yang agak kuat dan sejuk, lebih kurang 2 ke 3 minit berjalan Azim terpaksa mengangkat bendera putih dengan situasi badannya yang semakin lemah mana mungkin boleh meneruskan perjalanan, dimana Sob dan Din memapah Azim selangkah demi selangkah sehingga ke kawasan yang kami rasakan tertutup dan selamat untuk dijadikan tempat berehat sehingga menunggu bantuan tiba.

Sebelum trips ini berlangsung memang telah dingatkan kepada setiap perserta dilarang membawa Stove atau membuka dapur haram, tapi syukur alhamdulilah Din secara curi-curi membawa dapur untuk spare sekiranya ada kes kecemasan dan kami memasak air panas untuk diberikan kepada Azim dan mengeluarkan makanan lebihan yang masih ada untuk diberikan kerana Azim untuk makan kerana ia sering muntah, dan sperutnya tidak boleh menerima sebarang makanan untuk makan dan pastinya selepas iu dia kan muntah dengan sendiri. selain itu azim ada menyatakan badannya sejuk walaupun sudah memakai wind breaker dan dibalut satu badan dengan emergency blanket, kami syak mungkin Azim diserang dengan Sindrom Ams akibat cuaca sejuk di puncak tadi.

Lebih kurang 50 minit menunggu akhirnya bantuan tiba, Pok Teh datang dengan membawa ubat yang bersesuai untuk diberikan kepada Azim, cukup tabah Poktih untuk berpatah balik seorang diri walaupun ketika itu semakin mendekati gunung Korbu. ketika kami menghubungi guide melalui walkie talkie memberitahu masalah yang dihadapi oleh kami, rupanya mereka semua tidak berada begitu jauh b daripada kami dan turut menunggu kami bertiga sampai ke lokasi mereka yang berada di pertengahan jalan tapi atas faktor keselamatan dan angin kuat kerana berada di kawasan laluan permatang kami meminta mereka meneruskan perjalan terus ke Puncak Korbu dan berhenti di Puncak Botak untuk bermalam dan berehat sementara menunggu kami berempat datang kesesokan harinya. Pada waktu ini keutamaan kami semua adalah untuk memastikan kesemua lineup dapat menyelesaikan expedisi ini dengan selamat walaupun tidak berjaya melaksanakan Trans V1 dalam tempoh 24 seperti yang telah dirancang.

Sebenarnya agak menarik juga bagaimana Campsite sementara kami berempat dibina,memandangkan keadaan Azim sudah tidak berupaya untuk bergerak kami bertiga mengangkat tubuh badan sehingga sampai ke kawasan yang dirasakan agak luas untuk dijadikan tempat kami semua untuk melelapkan mata. Seterusnya kami membuat unggun api bayangkan berada di ketinggian lebih 2000 kaki dan hanya berlindung dengan emergency blanket dan plastik sampah pastinya terasa memang cukup sejuk, lebih kurang pukul 4.30 am barulah urusan mencari ranting-ranting kering, kayu kering untuk menghidupkan unggun api selesai dengan jayanya dan tidur malam kami semua bertemankan dengan sinaran cahaya bulan.


Selamat pagi Gunung Korbu

Lebih kurang Pukul 7.00 am, sob terjaga daripada tidur cukuplah dapat tidur yang lena selama beberapa jam untuk mengembalikan tenaga , alhamdulillah semua selamat dan Azim semakin pulih selepas berehat panjang. Seterusnya kami mula memasak air panas dan makan saki baki makanan ringan yang ada untuk dijadikan sarapan pagi ini penting untuk terus membekalkan tenaga untuk meneruskan perjalanan. Dengan keadaan bekalan air kami yang semakin sedikit dan perlu dicatu sehingga kami sampai di last water point ketika menuruni Puncak Korbu. Sebelum tidur malam tadi sob ada terperasan  & terdetik di hati ternampak satu lembaga berwarna putih duduk di  salah satu dahan pokok tidak jauh daripada tempat kami tidur mungkin disebabkan cahaya bulan pada malam itu agak terang menyebabkan sob boleh nampak keadaan sekeliling dengan agak jelas tapi seperti biasa dengan keadaan badan yang sudah cukup letih dan memerlukan rehat  dan perasaan itu mungkin pandangan itu sekadar ilusi dimana ia  terus hilang bersama dengkuran kami semua.  

Perjalanan menuju ke Puncak Korbu, kelihatan tersergam dengan indah menanti kami sampai

Menuju ke puncak Korbu, ar rupanya masih banyak lagi cabaran yang menanti kami semua daripada lalunya yang pacak, melalui puncak-puncak tipu memang cukup stress bila difikirkan, Din cakap 'layankan saja sob!, ini baru namanya nikmat mendaki' Selain daripada mengejar masa untuk ke sampai ke Puncak Botak dimana rakan-rakan yang lain menanti kami semua disitu. Ada hikmahnya walaupun kami terkandas semalam di Gunung Gayong, tapi pada pagi itu dalam perjalanan kami diraikan dengan pemandangan indah terbentang banjaran titiwangsa seluas mata memandang. Keadaan pokok yang lebih banyak bermossy dilalui tapi tidak sebegitu secantik seperti ketika menuju ke Puncak Junction, kami banyak berbual-bual kosong sepanjang perjalanan untuk menghilangkan perasaan 'pewai' dan bosan Bergerak menuju ke Puncak Korga tidaklah semudah yang disangka. Trek yang kebanyakkan terus menaik dan sesekali menjumpai trek landai sehingga ke Puncak.


Berada di sini lebih kurang 5 minit sekadar bergambar kenangan edisi Pewai, di Puncak terakhir yang didaki seterusnya meneruskan perjalanan untuk bertemu dengan peserta yang lain. Puncak Gunung Korbu (92183 mtr) dan merupakan Puncak tertinggi di Negeri Perak dan merupakan tulang belakang kepada Banjaran Titiwangsa.

Melalui Tangga Chuban, menuju Ke Puncak Bota,  Last Water Point, Kem Kijang & Kem Seroja.

Secara jujurnya boleh Sob simpulkan bahawa 'azab' yang bakal ditanggung oleh kami bakal berakhir sejurusnya tiba di Puncak Korbu dimana laluan harus dijalan seterusnya kebanyakan akan melalui trek yang menurun dan setengah tempat perlu mendaki tapi tidak terlalu tinggi, serta perlu melintasi banyak anak sungai dimana pada masa itu air bukan lagi menjadi masalah utama cuma yang menjadi masalah ialah laluan untuk keluar sehingga sampai ke Empangan sangatlah jauh pastinya perjalanan yang bakal ditempuh nanti sangat memenatkan.

Kami meneruskan perjalanan yang masih berbaki lebih kurang 11 kilometer lagi. Kami bertujuh bakal bergerak turun untuk menuju ke Chuban dan seterusnya berjumpa kembali kesemua lineup di Puncak Botak pula. Sebanyak 14 anak tangga besi kesemua yang berbeza dari segi panjang pendek yang perlu dilalui untuk sampai ke Kem Botak. Setelah selesai refill air di LWP, sob bergerak bersendirian menuju ke ke Kemsite Kijang seterusnya dimana jaraknya lebih kurang 1km tidak begitu jauh dimana laluanya hanya menurun. Pada masa ini kesemua lineup sudah mula menunjukkan gigi taring masing-masing dengan laluan yang agak jelas untuk dilalu,  hari pula sudah semakin cerah kesemua kami mula berlari-lari bersaing antara satu sama lain, untuk menuju ke Kem Seroja dimana nanti kami semua akan di regroup kembali sebelum meneruskan perjalanan menuju ke Empangan.

Alhamdulilah sob masih diberi peluang untuk melihat bagaimana keadaan Kem Seroja dalam keadaan asal sebelum ia 'hilang' baru-baru ini akibat terkena kepala air yang cukup kuat dan mungkin ini memori pertama dan terakhir melihat Kem yang cukup terkenal di kalangan para pendaki. Untuk menuju ke sini agak banyak juga sungai yang perlu dilalui walaupun arus sungai tak begitu deras dan dalam tapi masih perlu berhati-hati takut tersasar ke arah lain tambahan sekiranya berjalan seorang diri. Sob boleh cakap satu kelebihan mendaki menggunakan sandals tak perlu bimbang kasut basah atau pasir memasuki kasut seterusnya perlu selalu dibuang jadi penggunaan sandals sangat membantu sob sama ketika memakai sandals pada awal tahun ini ketika menuju ke Gunung Yong Yap.

Air terjun balak, lokasi wajib untuk bergambar sinonim dengan Gunung Korbu

Daripada Kem Seroja menuju ke Empangan kami mula berjalan dalam kumpulan, walaupun ada diantara kami ketinggalan tapi tidaklah begitu jauh kerana sangat yakin risiko untuk sesat disini adalah sangat tinggi berdasarkan pemerhatian terdapat beberapa sungai yang perlu dilintas antara satu tebing ke tebing yang lain memang cukup mengelirukan terutama kepada yang pertama kali melalui jalan ini, disamping itu akibat terlalu kerap melalui kawasan berair menyebabkan kaki mula tidak berasa selesa akibat kembang direndam oleh air. Perjalanan pada mulanya agak laju akhirnya menjadi semakin perlahan rentaknya terutama ketika sudah melepasi laluan sungai dan terpaksa berjalan lebih kurang 500 mtr di bekas laluan balak memang cukup memenatkan. 

Syukur alhamdulillah lebih kurang pukul 4.00 petang kami berjaya sampai ke luar, berehat sebentar sementara menunggu motosikal yang telah dijanji terlebih dahulu untuk membawa kami semua keluar ke pintu empangan dimana lori sudah tersedia menunggu. Perasaan selepas berjaya dilaksanakan Trans Titiwangsa 1 satu perasaan yang tak dapat digambarkan bagaimana rasanya sangat bersyukur berjaya masuk dan keluar dalam keadaan selamat, cukup bangga dengan rekod peribadi yang berjaya dilaksanakan dengan jayanya yang pada mulanya misi yang kelihatan agak mustahil untuk dilakukan akhirnya berjaya dilaksanakan bukan nama atau sanjungan yang dicari cukupkah sekadar mencari kepuasan dan pengalaman yang sukar dicari ganti. Paling penting sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan yang bakal terjadi semasa expedisi berlangsung dan jangan sesekali pandang rendah dengan bukit atau gunung yang bakal didaki keep training and adventure is waiting for you !


Terima Kasih semua untuk satu kenangan 
Din, Ben, Azim, Faizal, Abang Rashid, Kak Azlina, Pokteh, Ben, Afie, 
Kecik ( sewaper jemputan ) & Farid ( Guidge )

'Tidak perlu menjadi pahlawan untuk melakukan sesuatu yang hebat, 
bersaing dengan manusia lain semata-mata hanya untuk mendapatkan nama, 
kita hanya perlu bermotivasi  fokus dengan matlamat
untuk melakukan sesuatu yang hebat'


Viewing all articles
Browse latest Browse all 94

Trending Articles



<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>